ARTIKEL: NIAT DAN KEPENTINGAN DAKWAH

NIAT DAN KEPENTINGAN DAKWAH

terdetiknya baik bukannya sia
Akan yang buruk itu benar tidak dikira
Kerna cinta sang pencipta
Menunjukkan kasih tiada tara

Telah bersabda Baginda tercinta Rasulullah S.A.W  “Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat “ hadis ini jelas menunjukkan bahawa setiap amalan perbuatan itu disertai dengan niat  yang hanya diketahui oleh si pembuat dan ALLAH sahaja samada baik atau buruk niat nya di dalam melakukan sesuatu perbuatan. Manakala dakwah umumnya diketahui ialah sesuatu pekerjaan yang mengajak seseorang individu atau sekumpulan individu kearah keagamaan dan ingin saya tegaskan di sini bahawa maksud sebenar- benar dakwah ialah mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, maka apakah kaitan niat dan kepentingan dakwah? 

 
    Perkaitan yang paling rapat ialah apabila kita melakukan kerja dakwah ini memerlukan kita agar sentiasa memperbaharui niat kita yang sewajarnya iaitu mengajak kepada kebaikan serta mencegah kepada kemungkaran dengan seikhlas hati. Ini kerana tanpa niat yang murni serta perbuatan yang hasanah,  mana mungkin kemurnian serta keaslian kerja dakwah dapat diserlahkan yang seterusnya  dapat membuka mata masyarakat tentang betapa pentingnya kerja dakwah. Ia tidak seharusnya  menjadi tugas sekelompok individu sahaja  akan tetapi menjadi kewajipan seluruh umat islam untuk melaksanakan kegiatan dakwah.  Ini adalah untuk melahirkan satu bi’ah islami. 

    Keadaan ini telah dibuktikan pada zaman Rasulullah melalui kisah penghijrahan sahabat ke habsyah. Raja habsyi amat terkesan dan  terpegun dengan didikan Rasulullah terhadap para sahabat. Rasulullah mentarbiyah para sahabat bukan sekadar  teori akan tetapi rasulullah menjadikan dirinya qudwah hasanah untuk diikuti oleh para sahabat. Maka tidak dapat dinafikan lagi bahawa hasil didikan inilah menjadi asbab kepada islam masih tersebar meluas di seantero dunia. Para sahabat  berdakwah dengan niat yang baik dan sentiasa ikhlas dalam kerja dakwah. Balasan kerja yang mulia ini bukan suatu janji tetapi pasti akan rahmat Allah itu kepada orang-orang yang berkhidmat untuk Islam melalui dakwah.

    Bertunjangkan niat yang baik mampu menjadikan fantasi menjadi realiti yang amat menakjubkan. Oleh itu, amat penting untuk sentiasa memperbaharui niat semata kerana Allah di dalam melakukan apa sahaja kebaikan. ini sudah terbukti melalui sejarah ketamadunan islam ,  dimana pelbagai ilmu dapat dikecapi dengan jayanya oleh ilmuwan islam. Kepelbagaian ilmu itu termasuklah ilmu duniawi dan terutamanya ilmu ukhrawi. 

    Islam tidak hanya membuktikan keesaan Allah menggunakan dalil naqli semata-mata akan tetapi mereka juga membuktikannya juga melalui dalil aqli iaitu secara logik . contohnya ialah ibnu sina yang berjaya di dalam ilmu perubatan yang menjadikan  al-quran  sebagai sumber utama di dalam penyelidikannya di dalam bidang perubatan seperti remedies for the heart yang  dijadikan sandaran para doktor.

Allah berfirman di dalam al-quran mafhumnya,” serulah (manusia) kepada jalan Rabb-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik “.[An Nahl ; 125]. 


    Dalil di atas menerangkan bahawa keperluan kepada perbuatan yang baik di dalam berdakwah kepada manusia dimana perbuatan yang baik itu berasas daripada niat yang murni dan ikhlas kerana Allah.

    Akhirulkalam , ingin saya simpulkan disini bahawa niat merupakan satu komponen yang amat penting di dalam memastikan dakwah yang diberikan melalui hati yang baik dan murni dapat diterima dengan sepenuh hati. Ini  kerana kata-kata yang bergantung kepada akal semata-mata mungkin kurang memberi kesan akan tetapi lafaz berlandaskan akal yang sihat yang disertai dengan niat yang murni boleh mengubah dunia.

Comments

Post a Comment